Sunday, November 13, 2011
Dr Mimi Sakinah Abd Munaim Ratu Penyelidik
RATU penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) - gelaran yang selayaknya diberikan kepada Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Dr Mimi Sakinah Abd Munaim kerana kejayaan merangkul pelbagai anugerah hasil penyelidikannya sama ada di peringkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa.
Tanpa berselindung, tetapi dengan penuh rasa rendah diri dan santun berbahasa, Dr Mimi Sakinah, 33, berkata sembilan daripada 13 projek penyelidikan yang dihasilkan sejak lebih lima tahun lalu di universiti itu mendapat pengiktirafan manakala baki empat kajiannya belum dibawa ke pentas pertandingan.
"Saya terharu kerana projek penyelidikan saya menerima pengiktirafan dan mampu menewaskan ratusan penyelidikan dalam pertandingan di peringkat antarabangsa.
"Ini satu penghargaan yang tidak ternilai bagi saya kerana Malaysia baru sahaja berkembang dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutama membabitkan universiti dan industri," katanya ketika ditemui di UMP Kampus Gambang di Kuantan, baru-baru ini.
Menyingkap pembabitannya dalam bidang penyelidikan, semuanya bermula ketika dia mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) (Kejuruteraan Bioproses) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
"Ketika itu saya menjalankan penyelidikan mengenai penggunaan siklodekstrin iaitu produk yang terhasil daripada tanaman ubi kayu untuk memperlahankan proses pelepasan bau yang digunakan pada minyak wangi atau serbuk pencuci.
"Selepas menerima PhD, saya semakin bersemangat dan sentiasa teruja untuk menjalankan penyelidikan dengan penemuan terbaru walaupun ketika itu saya sibuk dengan kerjaya sebagai pensyarah," katanya.
Anak ketiga daripada lapan beradik pasangan Abd Munaim Abd Karim, 62, dan Mariam Othman, 59, ini berkata sejak kecil dia meminati mata pelajaran sains dan suka melakukan eksperimen.
"Saya suka membuat eksperimen mengenai pelbagai benda dan teruja untuk melihat hasilnya walaupun terpaksa mengeluarkan wang saku sendiri untuk membeli bahan dan peralatan yang diperlukan.
"Bukan senang untuk menghasilkan sesuatu jika kita tidak mengetahui komposisi bahan mentah itu.
"Justeru sebagai penyelidik, antara lain tugasan yang dilakukan adalah membuat pengiraan mengenai komposisi dan kandungan yang ada untuk mendapat keputusan yang tepat.
"Pihak industri dan institusi pengajian tinggi (IPT) banyak menghasilkan penyelidikan dan diiktiraf, tetapi kekangan kewangan membantutkan usaha ke arah itu," katanya.
Sesuatu yang mungkin tidak akan hilang daripada ingatan wanita cekal dan berwawasan ini apabila menerima anugerah Pencipta Wanita Terbaik daripada Pertubuhan Intelektual Sedunia ketika berlangsungnya Penciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa Ke-21 (Itex) di Kuala Lumpur, Mei lalu.
"Ini adalah kejayaan dan pengiktirafan tertinggi pernah saya terima. Saya mahu dikenali sebagai penyelidik wanita paling berjaya di tanah air suatu hari nanti di samping pelbagai projek penyelidikan yang berjaya dikomersialkan.
"Saya sedang menuju ke arah itu dan saya yakin, cita-cita itu dapat direalisasikan dengan bantuan dan sokongan penuh pihak universiti dan kerajaan Malaysia," katanya.
Menurutnya, terdapat banyak hasil R&D universiti dan pusat penyelidikan tempatan yang memenangi anugerah di peringkat antarabangsa, tetapi gagal dikomersialkan kerana beberapa masalah yang mengambil masa lama untuk diselesaikan.
Dr Mimi Sakinah berkata, dunia penyelidikan di Malaysia sedang meningkat naik meskipun masih jauh dibandingkan dengan penyelidikan negara maju.
Satu daripada faktor yang mempengaruhinya adalah hubungan R&D antara universiti dan industri masih longgar menyebabkan kesukaran dalam membangun dan mengkomersialkan sesuatu produk penyelidikan.
Presiden Persatuan Wanita UMP (Matahari) ini juga yakin bidang penyelidikan di negara ini berpotensi dikomersialkan ke peringkat antarabangsa.
"Bagaimanapun, penyelidik sering berhadapan kekangan kewangan manakala geran yang diberikan agak terhad.
"Namun, saya amat bersyukur kerana pihak universiti tidak pernah menolak permohonan kewangan saya, malah sentiasa mendapat sokongan padu dalam menjayakan aktiviti penyelidikan," kata anak kelahiran Melaka ini.
Bekas pelajar Sekolah kebangsaan (SK) Abu Bakar Baginda, Kajang, Selangor ini menganggap dirinya sangat bertuah kerana dikurniakan suami yang bertugas di universiti yang sama, malah menjadikannya satu bonus kerana mereka terbabit dalam bidang penyelidikan.
Suaminya, Zularisman Abd Wahid, 36, adalah pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam yang turut menghasilkan penyelidikan dan mendapat pengiktirafan melalui produk yang dihasilkan.
"Saya bersyukur kerana suami banyak membantu, bermula daripada anak pertama hingga anak keempat, dia tidak pernah mengenepikan tanggungjawab walaupun sibuk dengan tugasnya sebagai pensyarah di universiti yang sama.
"Dia amat memahami tugas saya, malah setia membantu dan menunggu saya menjalankan penyelidikan di rumah kerana masa yang terhad di universiti sedikit menghalang keterujaan saya untuk menjalankan kerja penyelidikan," katanya.
Dr Mimi Sakinah memegang prinsip mendahulukan suami dan anak-anak dalam apa juga perkara dan tidak pernah menjadikan kerjaya sebagai alasan untuk meminggirkan keluarga tercinta.
Baginya, sesibuk manapun seorang wanita itu, sebagai isteri dan ibu, dia perlu tahu tahap kebebasannya.
Dia turut berpendapat, minat anak-anak dalam sesuatu bidang perlu dipupuk sejak awal kerana pada peringkat usia muda lagi, mereka mudah menerima tunjuk ajar dan ´melekat´ di minda.
"Anak-anak (terutama Ahmad Faris, 7, dan Dhiya An-Nadrah, 6) mula menunjukkan minat dalam bidang penyelidikan.
"Ini kerana mereka sentiasa bersama jika saya melakukannya di rumah sehinggakan saya terpaksa menyediakan meja khas untuk mereka jalankan kerja ´penyelidikan´ masing-masing.
"Ini juga kaedah merangsang minda mereka untuk meneroka lebih jauh walaupun ada ketikanya ruang tamu turut menjadi medan menjalankan rutin mereka," katanya.
Dr Mimi Sakinah yakin, ibu bapa hari ini perlu lebih peka terhadap kecenderungan anak dan memberi perhatian terhadap keinginan anak bagi mengelak daripada melakukan sesuatu di luar dugaan.
"Sebagai ibu bapa, kita perlu mendekati anak-anak dan memahami naluri, kecenderungan dan cita-cita mereka kerana dalam zaman serba moden ini pelbagai perkara yang tidak dijangka boleh berlaku," katanya.
Source : Harian Metro
http://www.harum.my/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment