Wednesday, November 16, 2011

Impian Mimi Buka Kilang Gula

 KUANTAN 11 Mei - Kejayaan seorang penyelidik merangkul Anugerah Cendekia Bitara dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencetuskan impiannya untuk membuka sebuah kilang bagi mengkomersialkan hasil kajiannya.

Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA) UMP, Prof. Madya Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, 34, berkata, pembukaan kilang tersebut berikutan penemuan kaedah penghasilan gula daripada habuk kayu yang mengandungi selulosa.

Beliau telah menerima geran daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) sebanyak RM500,000 bagi membina kilang tersebut.

"Saya telah menerima geran daripada MTDC bagi membina sebuah kilang tetapi lokasinya masih dalam perbincangan," katanya ketika ditemui pada Malam Cendekia Bitara UMP di sini, baru-baru ini.

Penyelidikan tersebut membawa tuah kepadanya apabila berjaya menerima anugerah Best Women Inventor daripada Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIP0) menerusi kajian bertajuk Sustainable Production of Sorbitol From Biomass Using Green Technology Approach pada tahun lalu.

Pengiktirafan tersebut merupakan yang tertinggi dianugerahkan oleh badan antarabangsa kepada penyelidik yang menghasilkan penyelidikan yang memberi impak kepada negara.

Sehingga kini, beliau telah menghasilkan 50 kertas kerja persidangan, 15 artikel yang diterbitkan dalam jurnal berwasit, satu fail yang telah dipatenkan di Malaysia dan dua fail dipatenkan di Amerika Syarikat.

Pada Malam Cendekia Bitara UMP itu, antara kategori dipertandingkan ialah Tokoh, Penerbitan Jurnal, Penerbitan Buku, Produk Penyelidikan, Kreativiti, Kualiti dan Paten.

Mimi Sakinah dinobatkan sebagai Tokoh Cendekia Bitara dan Anugerah Projek Penyelidikan yang membolehkannya membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penghargaan setelah hasil penyelidikannya diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Syukur, saya berjaya menerima anugerah bagi kedua-dua kategori tersebut walaupun tidak menyangka ia sangat berhasil. Walaupun terpaksa menjalankan tanggungjawab sebagai penyelidik, pensyarah dan ibu secara serentak, namun segala usaha itu sangat berbaloi," katanya.

Turut menerima anugerah produk penyelidikan ialah seorang lagi pensyarah FKKSA, Prof. Datuk Rosli Mohd. Yunus yang menghasilkan penyelidikan kitar semula minyak dasar daripada minyak hitam terpakai menggunakan teknologi pengekstrakan sebagai usaha mengelakkan pencemaran alam sekitar.

Rosli membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.

Pemenang bagi Anugerah Kreativiti pula ialah Datin Fazia Ali, Muhammad Ilzam Jamat dan Mohd. Khairulnazri Saidi yang menghasilkan reka bentuk teruai (booth) dalam peringkat nasional dan antarabangsa.

Kategori Penerbitan Jurnal Terbaik pula dimenangi Dr. Ahmed Mohamed Ahmed Haidar, Dr. Chong Fui Chin, Sunarti Abd. Rahman, Prof. Dr. Jose Rajan, Fadhlur Rahman Mohd. Romlay dan Prof. Dr. Korada Viswanatha Sharma.

Anugerah tersebut diadakan bagi memberi penghargaan kepada penyelidik yang menyumbang kepakaran dalam pelbagai bidang. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Hadir sama Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Mohd. Hilmey Mohd. Taib.

Sumber : Utusan Malaysia Online, Bahagian Wilayah Pahang, 12 Mei 2011

No comments: